REMAJA yang ditahan polis bersama keretanya dibawa ke Balai Polis Chukai untuk siasatan lanjut. Foto POLIS
REMAJA yang ditahan polis bersama keretanya dibawa ke Balai Polis Chukai untuk siasatan lanjut. Foto POLIS
Rosli Ilham


Kemaman: Empat remaja ditahan selepas polis mengejar sebuah kereta dipandu melulu sejauh 10 kilometer di Chukai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang, remaja berusia 13 tahun yang memandu kereta Proton Saga itu melarikan diri selepas terserempak dengan polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, terdahulu polis melakukan Ops Lancar dan samseng jalanan di kawasan Kemaman Waterfront.

Katanya, anggota kemudian mendapati kereta dipandu remaja itu melawan arus dan ketika cuba menahannya, suspek memecut melarikan diri.

"Polis kemudiannya mengejar kereta terbabit dan anggota polis beberapa kali meminta dia memberhentikan kenderaannya namun tidak diendahkan.

"Kenderaan itu dipandu dalam keadaan bahaya kepada pengguna jalan raya lain termasuk memotong barisan serta melanggar isyarat lampu merah di persimpangan stesen bas Geliga dan Mak Lagam," katanya.

Hanyan berkata, sebaik tiba di Taman Banggol Indah, remaja itu akhirnya memberhentikan kenderaannya sebelum melarikan diri bersama empat rakannya.

"Namun semua remaja berusia 13 hingga 16 tahun itu berjaya ditahan dan dibawa balai untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan itu iaitu ibu kepada remaja terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 10:15 AM