Rosli Ilham

Kemaman: Anggota polis wanita patah tangan kiri selepas dilanggar pemandu lelaki yang sedang mengejar kereta dipandu ibu mentuanya di Jalan Dato dekat Chukai, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 11.30 pagi itu, anggota berpangkat sarjan yang juga penolong pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, suspek berusia 50 tahun dikatakan bertengkar dengan mentuanya berusia 69 tahun dan memukul kereta wanita itu.

Katanya, ibu mentua suspek kemudiannya melarikan diri dengan memandu kereta Perodua Viva, dan dikejar suspek.

"Namun, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Saga dipandu suspek dikatakan bertembung dengan motosikal ditunggang anggota terbabit yang dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Akibat kemalangan, anggota terbabit patah tangan kiri dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Hanyan berkata, susulan kemalangan itu, suspek melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu dan berbahaya dan Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta membantu polis dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

SARJAN wanita patah tangan dilanggar lelaki yang mengejar ibu mentua di Kemaman. FOTO Ihsan Polis
SARJAN wanita patah tangan dilanggar lelaki yang mengejar ibu mentua di Kemaman. FOTO Ihsan Polis

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 2:16 PM