GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penggunaan elektrik di Semenanjung Malaysia melonjak kepada 18,035 megawatt (mw) pada 2 Mac lalu berbanding Februari dan Januari.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan, pada Februari penggunaan elektrik mencatatkan 17,501 mw manakala Januari lalu pula hanya 16,585 mw.

"Taburan hujan yang agak rendah sejak Februari lalu diikuti gelombang haba baru-baru ini melonjakkan permintaan elektrik puncak bagi Semenanjung Malaysia.

"Permintaan tinggi ini dicapai ketika ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

"Untuk rekod, permintaan puncak tertinggi direkodkan negara adalah 18,808 mw pada 10 Mac tahun lalu iaitu lapan hari sebelum PKP mula dilaksanakan," katanya hari ini.

Menurutnya, cuaca panas dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac dan Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran gelombang haba tahap berjaga-jaga dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celcius di Chuping (Perlis), Kota Setar (Kedah), Alor Gajah (Melaka) dan Tangkak (Johor).

"Permintaan elektrik yang tinggi ini antara lain didorong penggunaan penyaman udara yang lebih kerap dan dalam tempoh panjang.

"Ini menyebabkan kompresor sistem penyejuk pada sebarang perkakas elektrik terpaksa bekerja lebih kuat dan perlu menggunakan tenaga dengan lebih banyak bagi mengekalkan paras suhu yang sejuk ketika cuaca panas," katanya.

Menurutnya, penggunaan elektrik dapat dijimatkan sekiranya penyaman udara dioptimumkan dengan menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celcius.

"Selain itu, kaedah lain pengguna perlu menutup tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk bagi mengurangkan beban pendingin hawa pada waktu siang.

"Penjimatan juga dapat dinikmati menerusi penggunaan pemasa untuk menutup penyaman udara pada awal pagi iaitu dari jam 2 pagi ke atas (ketika cuaca mulai sejuk) dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk dan pengedaran udara di dalam bilik," katanya.

Katanya, senggaraan penyaman udara secara berkala pula dapat memastikan ia berfungsi dengan lebih efisien dan menjimatkan.

"Selain itu, elakkan daripada membuka pintu peti sejuk dengan kerap dan dalam tempoh lama.

"Pengguna yang berhasrat untuk membeli peralatan elektrik yang baru dinasihatkan memilih perkakas elektrik berpandukan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

"Peralatan berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang lebih menjimatkan penggunaan elektrik. Pengguna juga boleh membuat kiraan penggunaan perkakas elektrik menggunakan kalkulator tenaga di rumah (Home Energy Calculator) di laman web myTNB menerusi www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/home-energy-...," katanya.

TNB berkata, anggaran pengiraan ini berdasarkan keadaan peralatan yang berfungsi dengan sempurna.

"Kecekapan peralatan akan berkurangan semakin lama ia digunakan berikutan faktor usia.

"Layari www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penggunaan elektrik yang boleh diamalkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 12:53 PM