Tutup suis yang tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran. - Gambar hiasan
Tutup suis yang tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran. - Gambar hiasan
Muhamad Shaifullah Tayep

BIARPUN kes Covid-19 di kebanyakan negeri menunjukkan trend penurunan bermula minggu kelima tahun ini iaitu selepas dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh PKP bagi negeri Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor yang sepatutnya berakhir 18 Februari kepada 4 Mac sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagi negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Sabah pula ditukarkan status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Manakala, negeri Perlis ditukarkan status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kerajaan negeri Sarawak mengekalkan PKPB bermula 15 Februari hingga 1 Mac ini.

Menjangkakan penggunaan elektrik bakal meningkat daripada kebiasaan kerana lebih banyak masa akan dihabiskan di rumah dan cuaca panas yang melanda negara ketika ini yang dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan Mac.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna mengamalkan beberapa panduan penggunaan elektrik yang cekap bagi mengelakkan pembaziran tenaga elektrik yang boleh menyebabkan peningkatan bil sepanjang tempoh PKP.

Pastikan palam ditanggalkan apabila peralatan elektrik sudah tidak digunakan. - FOTO Facebook TNB Careline

Tutup suis, tanggalkan palam apabila tidak digunakan dan jangan biarkan peralatan elektrik seperti kipas dibiarkan terpasang dalam bilik yang kosong.

Sekiranya anda mengecas komputer riba, cabut dan matikan suis selepas mengecas dan apabila ia sudah tidak digunakan lagi.

Bersihkan penapis sebulan sekali sekiranya penghawa dingin digunakan dengan kerap. - FOTO Facebook TNB Careline

Bersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan proses penyejukan kerana penapis yang kotor menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

Pastikan semua pintu, tingkap dan lubang edaran udara tertutup rapat ketika menggunakan pendingin hawa supaya hawa sejuk tidak keluar dari bilik.

Gunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik supaya suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi antara 24 ke 26 darjah Celsius bagi menjimatkan tenaga.

Elakkan menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh dan hanya cuci pakaian dengan air panas sekiranya perlu.

Anda digalakkan mengeringkan pakaian secara semulajadi ketika cuaca panas untuk mengurangkan penggunaan pengering pakaian.

Untuk lebih kaedah penggunaan tenaga yang berhemah dan bijak, layari www.mytnb.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 8:24 PM