Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob meminta rakyat negeri ini agar berwaspada dengan cuaca panas melampau bagi mengelakkan lebih banyak kes strok haba berlaku.

Pada masa sama, beliau mahu semua pihak terutama ibu bapa agar memantau pergerakan dan kesihatan anak masing-masing berikutan perubahan cuaca seumpama ini belum pernah berlaku.

"Kita nasihat rakyat sebab perubahan cuaca panas sebegini berlaku bukan sahaja di Kelantan, tapi banyak negeri lain maka mesti berhati-hati sebab kita tak pernah alami sebelum ini.

"Perubahan cuaca sebegini akan menyebabkan strok haba dan kita minta rakyat jangan terdedah kepada kepanasan luar biasa ini," katanya.

Terdahulu, Ahmad hadir dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Di Kelantan, dua kematian dilaporkan dengan satu kes kelesuan haba membabitkan seorang bayi perempuan berusia 19 bulan, manakala satu kes lagi disebabkan strok haba yang mengakibatkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut.

Berhubung cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai keperluan untuk melanjutkan cuti sekolah berikutan fenomena cuaca panas melampau, Ahmad berkata, ia tiada kepentingan memandangkan jangkaan musim panas agak panjang.

"Itu terpulang (lanjut cuti) tapi tidak sampai ke tahap untuk panjangkan cuti (sekolah) kerana jika (cuti) terlampau banyak, akan menjejaskan juga.

"Yang penting ada kerjasama dan kesedaran semua pihak bahawa strok haba ini sesuatu yang bahaya. Kalau nak ikut cuti, (cuaca) panas ini sampai Ogos jadi kita kena ambil kira kepentingan ilmu, pelajaran dan kesihatan," katanya.

Ahmad Zahid dalam kenyataannya semalam memberitahu Jemaah Menteri akan berbincang keperluan untuk melanjutkan cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri atau sebaliknya berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 3:04 PM