MAYAT mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat.  FOTO Erika George.
MAYAT mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat. FOTO Erika George.
Erika George


Bintulu: Kanak-kanak perempuan ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh di Sungai Plan berhampiran belakang sebuah kilang perindustrian di Tanjung Kidurong di sini, hari ini.

Mangsa, Gwenna Dhollen Richard, 11 ditemukan terapung tidak jauh dari lokasi mangsa dikhuatiri terjatuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kidurong ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada 2.39 petang.

"Sebaik tiba, pasukan bomba memulakan usaha pencarian yang menggunakan teknik pencarian secara permukaan.

"Selepas satu jam setengah usaha mencari dan menyelamat (SAR), mayat mangsa ditemui terapung tidak jauh dari lokasi mangsa terjatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa terjatuh ketika bermain bersama rakan di kawasan parit sebelum dibawa arus ke muara parit yang mengalir ke sungai berkenaan.

Mayat diserahkan kepada dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 7:30 PM