Norzamira Che Noh


Shah Alam: Management and Science University (MSU) menjadi Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pertama di negara ini yang mengambil inisiatif melakukan proses disinfeksi atau nyahkuman di persekitaran kawasan kampus.

Ia susulan pengumuman oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membenarkan penuntut untuk kembali ke kampus dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) digariskan bermula 1 Mac ini.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata, Kempen Sanitasi Awam Kampus MSU itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Katanya, ia dilaksanakan sebagai langkah keselamatan untuk memutuskan rantaian serta membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan warga universiti.

"Kempen sanitasi ini dijalankan untuk memastikan kampus MSU sentiasa dalam keadaan terbaik dan bersiap siaga sepenuhnya menjelang pembukaan semula kampus pada 1 Mac nanti.

"Dengan pelaksanaan sanitasi awam ini, pelajar akan lebih yakin untuk kembali ke kampus," katanya ketika ditemui pada Kempen Sanitasi Awam MSU, tadi.

Turut hadir Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis serta Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Proses disinfeksi itu membabitkan kawasan tumpuan warga kampus termasuklah U Plaza, U Concourse, The Hub, Cinnamon Café serta persekitaran pembelajaran dan pengajaran merangkumi kelas dan dewan kuliah bermula dari Aras 3 hingga Aras 8.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor melakukan operasi sanitasi awam di MSU Shah Alam. FOTO/FAIZ ANUAR
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor melakukan operasi sanitasi awam di MSU Shah Alam. FOTO/FAIZ ANUAR

Kerjasama strategik antara MSU dan JBPM Selangor membabitkan penyertaan kira-kira 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15 dan BBP Kota Anggerik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 6:22 PM