GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Aktiviti menuba ikan dipercayai menjadi punca kematian mendadak pelbagai spesis ikan selain menyebabkan sungai di sebuah ladang di Bahau di sini, bertukar menjadi hitam.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S Veerapan berkata, siasatan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Pilah, sejak semalam, mendapati air sungai itu berwarna hitam di bahagian hilir.

Katanya, pasukan penyiasat JAS turut mendapati air sungai berbau busuk seperti najis kumbahan.

Veerapan berkata, JAS turut mengambil dua set sampel air sungai berwarna hitam dan ikan mati untuk dihantar ke makmal Jabatan Kimia bagi tujuan analisa.

"Berdasarkan pemerhatian di lapangan, kemungkinan pencemaran di hilir anak sungai itu berpunca aktiviti menuba ikan.

"Bagaimanapun kami masih menunggu keputusan ujian analisa sampel air sungai yang dihantar ke makmal.

"JAS juga merujuk kejadian itu kepada agensi berkaitan antaranya Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Menurutnya, JAS juga akan meneruskan pemantauan ke premis berhampiran lokasi bagi memastikan sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 5:28 PM