GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


KERJA pembersihan dan pelebaran parit berhampiran Sungai Lukut Kechil, Port Dickson, dikesan menjadi punca air sungai itu bertukar hitam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ia berdasarkan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas terima aduan penduduk.

Beliau berkata, JAS menerima aduan pada 11 Ogos lalu memaklumkan air sungai berkenaan berwarna hitam dan keadaan itu membimbangkan penduduk serta nelayan di sekitarnya.

“Sepasukan kakitangan JAS Negeri Sembilan kemudian ke lokasi untuk menjalankan siasatan pada 12 dan 15 Ogos lalu.

“Hasil siasatan mendapati punca menyebabkan air berwarna hitam adalah daripada kerja pembersihan dan pelebaran parit berhampiran sungai itu.

“Keadaan tanah yang hitam merubah air sungai menjadi hitam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Veerapan berkata, sampel air sungai itu diambil dan didapati keadaan pH adalah normal.

Bagaimanapun, katanya, JAS akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis serta loji kumbahan di kawasan Port Dickson bagi memastikan efluen atau sisa buangan yang dilepaskan mematuhi peraturan sekali gus tidak berlaku pencemaran alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 12:39 PM