PEKERJA pembersihan membuat kepungan bagi mengumpul bahan buangan. FOTO ihsan JAS
PEKERJA pembersihan membuat kepungan bagi mengumpul bahan buangan. FOTO ihsan JAS
Mohd Amin Jalil


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengambil enam sampel bahan buangan yang dipercayai dibuang pihak tidak bertangungjawab hingga menyebabkan berlakunya pencemaran di Sungai Linggi di Seremban untuk analisa Jabatan Kimia Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, JAS bersama Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) menjalankan siasatan di sepanjang Lembangan Sungai Linggi sebaik menerima aduan mengenai pencemaran itu.

Katanya, hasil siasatan berkenaan mendapati sisa buangan yang dibuang adalah dalam bentuk cecair berwarna hitam dan berbau seperti pelarut.

"Kawasan tercemar yang ditemui berhampiran Jalan Tok Ungku, Rasah itu adalah berkeluasan lebih kurang 4 X 5 meter persegi berdekatan dengan alur air yang mengalir ke Sungai Linggi.

"Sebanyak enam sampel bahan buangan itu diambil untuk analisa Jabatan Kimia," katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

Veerapan berkata, kerja-kerja pembersihan tapak, pembungkusan, pengangkutan dan pelupusan di lokasi kejadian turut dilaksanakan oleh agensi yang dilesenkan oleh JAS.

Beliau berkata, kerja-kerja menyedia dan meletakkan sand bag pula bagi mengepung kesan buangan dari memasuki ke alur air dijalankan oleh pihak Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan dipantau oleh JAS bersama agensi lain termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius perlakuan ini kerana menyebabkan punca air tercemar dan kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk pemulihan dan pembersihan kawasan tercemar.

"Insiden seperti sudah beberapa kali berlaku. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mana tiada seorang pun boleh melupuskan apa-apa buangan terjadual di darat atau ke dalam perairan Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak melebihi RM500,000.

"Saya menyeru orang awam memberikan maklumat kepada pihak kerajaan negeri dan juga agensi berkaitan untuk tindakan lanjut dengan pemberi maklumat akan diberikan ganjaran RM10,000," katanya.

Veerapan berkata, pihaknya sudah meminta Majlis Bandaraya Seremban (MBS) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi yang sesuai sebagai langkah pengawasan dan mengesan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

"Kerajaan negeri juga sudah meminta JAS menyiasat insiden ini daripada setiap aspek dan sudut untuk memastikan mereka yang melakukan perbuatan itu dibawa ke muka pengadilan.

"Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian atau melihat sebarang aktiviti yang mencurigakan, adalah dinasihatkan melaporkan ke hotline Jabatan Alam Sekitar1-800-88-2727 atau secara emel ke sesawang https://eaduan.doe.gov.my atau telefon 06-764 9017 / 18," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, pencemaran dikesan berlaku di Sungai Linggi selepas orang ramai menghidu bau busuk daripada aliran sungai berkenaan.

Berikutan itu, SAINS terpaksa menutup Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, kelmarin, bagi mengelak keadaan menjadi lebih kritikal dan penutupan itu menyebabkan 100 lokasi dan penempatan di Port Dickson serta sebahagian di Seremban mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam.

Berita berkaitan:

  • Sungai Linggi dicemari bau kurang menyenangkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 11:04 AM