Anwar Ibrahim dan Abang Johari menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Perasmian Raia Hotel, Pusat Konvensyen dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak-Anak Yatim di Hotel Raia, Kuching. FOTO NADIM BOKHAR
Anwar Ibrahim dan Abang Johari menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Perasmian Raia Hotel, Pusat Konvensyen dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak-Anak Yatim di Hotel Raia, Kuching. FOTO NADIM BOKHAR
Mohd Roji Kawi


Kuching: Hotel Raia mengembangkan sayapnya ke Sarawak dengan matlamat untuk membantu merancakkan pertumbuhan negeri ini khususnya Bandaraya Kuching sekali gus meningkatkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.

Malah, hotel yang pernah melakar sejarah di peringkat global apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Reka Bentuk dan Pembinaan Hotel Baharu Terbaik Antarabangsa pada 2017 itu menetapkan hala tuju untuk menjadi salah satu penyumbang utama kepada industri pelancongan di Kuching.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan Sarawak yang menyasarkan kemasukan tiga juta pelancong dengan pendapatan RM7.24 bilion menerusi industri pelancongan, tahun ini.

Pengerusi Urusharta Jamaah Property Management (UJPM), Datuk Othman Semail berkata, Hotel Raia Kuching adalah 'anak bongsu' dalam rangkaian Hotel Raia.

Menurutnya, ia menawarkan 237 bilik penginapan dan pusat konvensyen yang boleh memuatkan seramai 2,000 orang pada satu-satu masa.

Katanya, falsafah operasi Hotel Raia adalah berazam untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti pada setiap masa dan di semua peringkat.

"Saya amat berbangga dengan perkembangan Hotel Raia yang berusaha sebaik mungkin meningkatkan transformasi imej hotel dari segi penjenamaan semula, menaik-taraf fasiliti dan mengoptimumkan tahap kecekapan untuk keselesaan pengunjung melalui pelbagai inisiatif dan pelan pemulihan semula yang dirancang.

"Selepas mengambil alih operasi hotel yang sebelum ini di bawah seliaan Lembaga Tabung Haji pada April 2020 serta sokongan yang diberikan oleh syarikat induk Urusharta Jamaah serta dedikasi semua warga kerja, kini rangkaian lima Hotel Raia sudah memulih dengan mengaut perolehan operasi sebanyak RM111 juta dalam tempoh dua tahun beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Raia Hotel and Convention Centre Kuching serta Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta dua timbalannya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Othman berkata, selain di Kuching, Hotel Raia turut bertapak kukuh di Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kuala Terengganu, Terengganu dan Kota Kinabalu, Sabah.

"Dengan slogan baru 'Hotel Untuk Semua', ternyata kini rangkaian Hotel Raia semakin mendapat perhatian daripada pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama di negara ini.

"Hari ini cukup bersejarah kerana menandakan kejayaan UJPM dalam sektor perhotelan tempatan, kesediaan untuk mengalas tanggungjawab lebih besar serta sedia bersaing dengan jenama hotel tempatan lain," katanya.

Justeru katanya, UJPM berkongsi kejayaan itu dengan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menghulurkan sumbangan kepada rumah anak yatim, tahfiz serta keluarga asnaf berdekatan dengan hotel.

"Semoga dengan sumbangan ini akan menceriakan mereka sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba pada hujung minggu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 10:40 AM