Siti Rohana Idris


Tumpat: "Sehingga kini kami enam beranak masih belum membuat sebarang persiapan raya dan tiga anak saudara setiap hari bertanyakan baju raya," kata ibu tunggal dari Kampung Teluk Jering, Che Rohayu Mustafa, 44.

Che Rohayu berkata, anak saudaranya berusia 12 hingga 16 tahun yang juga kategori orang kurang upaya (OKU) adalah di bawah tanggungannya, selain menjaga ibu yang uzur.

Katanya, mereka menangis apabila menyebut perihal baju raya kerana risau tidak sempat membeli pakaian baharu untuk dipakai pada pagi Aidilfitri.

Wanita itu juga memberitahu mereka hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing RM250 dan RM500 sebulan bagi anak saudara dan ibunya.

"Saya memujuk mereka (anak saudara) dengan mengatakan tunggu sedikit masa lagi sehingga duit zakat dan sedekah orang ramai mencukupi untuk kami beli kelengkapan raya.

"Tiga beradik ini memang menetap bersama saya sejak ibu mereka meninggal dunia empat tahun lalu, manakala bapa kandung mereka tinggal di daerah lain.

"Buntu untuk memujuk mereka. Saya cuma minta mereka doa banyak-banyak dengan mengatakan berdoa di bulan puasa Insya-Allah makbul," katanya ketika ditemui dalam majlis sumbangan Aidilfitri di sini, hari ini.

Che Rohayu berkata, semalam mereka menerima wang kiriman bapa tiga beradik itu, sekali gus menyifatkan doa mereka termakbul.

Katanya, dua daripada anak saudaranya pula bakal menerima wang zakat daripada pihak sekolah dan sedikit sebanyak dapat digunakan untuk keperluan Aidilfitri.

"Untuk beberapa hari Ramadan terakhir ini dapat juga kami berbuka puasa dan bersahur dengan lauk pauk sedap berbanding sardin atau telur yang boleh dikatakan menu wajib kami," katanya.

Che Rohayu adalah antara 200 penerima daripada tiga kampung yang menerima sumbangan biskut raya oleh pasar raya Supermas dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kajang Sebidang/Teluk Jering.

Pengerusi KRT itu, Mohamad Raduan Mohamad berkata, sepanjang Ramadan ini bantuan seumpama itu diagih beberapa kali dengan kerjasama pihak berlainan untuk memastikan nasib asnaf terbela.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 1:57 PM
Che Rohayu menerima sumbangan biskut raya dari wakil Pasar Raya Supermas, Mohd Rozi Mohd Zali dalam majlis agihan yang dibuat di Kampung Kajang Sebidang. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Che Rohayu menerima sumbangan biskut raya dari wakil Pasar Raya Supermas, Mohd Rozi Mohd Zali dalam majlis agihan yang dibuat di Kampung Kajang Sebidang. FOTO SITI ROHANA IDRIS