HANYA simpanan dalam Akaun 2 KWSP boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 atau 55 Tahun. FOTO Arkib NSTP
HANYA simpanan dalam Akaun 2 KWSP boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 atau 55 Tahun. FOTO Arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 40 tahun dan ke atas yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing layak membuat pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) bermula 7 April ini.

KWSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan FSA2 akan dijalankan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Katanya, kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh bank yang mengambil bahagian di bawah program ini adalah antara 4 peratus hingga 5 peratus lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8 peratus hingga 15 peratus.

"Sepanjang Fasa 1 pelaksanaan skim yang akan bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian.

"Tarikh mula untuk Fasa 2 untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

"Jumlah pembiayaan maksimum sudah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun," katanya.

KWSP hari ini turut memperincikan mengenai mekanisme, terma dan syarat FSA2 yang kini boleh digunakan sebagai cagaran kepada pinjaman bank yang dibuat oleh pencarum.

"FSA2 adalah kemudahan yang bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Simpanan dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta).

"Bagaimanapun, pengeluaran ini adalah bersyarat, di mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti yang termaktub dalam Akta.

"Pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini, tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka. Permohonan pembiayaan peribadi ini boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian," katanya.

Tambahnya, sebelum membuat permohonan, ahli perlu membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 KWSP.

"Permohonan hendaklah dibuat mengikut terma dan syarat yang dipersetujui dengan institusi perbankan.

"Setelah permohonan diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang sudah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan," katanya.

KWSP berkata, fasiliti sokongan ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli KWSP yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi dengan impak minimum kepada simpanan persaraan mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 10:12 AM