ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan memadam kebakaran di tanah gambut di Jalan Bachok-Tok Bali. Cuaca panas berpanjangan dijangka melanda negara sehingga Ogos susulan peralihan monsun. FOTO arkib NSTP
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan memadam kebakaran di tanah gambut di Jalan Bachok-Tok Bali. Cuaca panas berpanjangan dijangka melanda negara sehingga Ogos susulan peralihan monsun. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Cuaca panas yang dijangka berpanjangan hingga Ogos ini dengan suhu mencecah 40 darjah celsius boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

Ia boleh memberi kesan termasuk tekanan pada tubuh apabila mempunyai implikasi buruk andai terdedah terlalu lama dengan suhu terlalu tinggi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan cecair dalam tubuh badan seseorang berkurangan.

Menurutnya, sekiranya tiada langkah pencegahan, orang ramai berisiko mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk strok haba dan kematian.

"Strok haba berlaku jika kesan haba dan dehidrasi pada badan. Keadaan itu boleh menyebabkan kegagalan fungsi organ badan seperti jantung, otak dan buah pinggang.

"Simptom awal adalah kekeringan mukosa mulut, mata dan kulit, selain berasa dahaga serta boleh mengalami pitam. Simptom teruk ialah pengsan dan tidak keruan.

"Tanpa rawatan cecair, boleh berlarutan sampai kematian," katanya kepada Harian Metro mengulas mengenai isu cuaca panas yang dialami ketika ini.

Merujuk data status gelombang haba pada laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jeli di Kelantan mencatatkan gelombang haba tahap jingga setakat Sabtu, yang merujuk kepada suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Selain itu, sebanyak 20 kawasan di Semenanjung mencatatkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga (suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah celsius untuk tempoh tiga hari berturut-turut).

Kawasan terbabit ialah Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang di Kelantan; Kuala Terengganu; Lipis, Jerantut, Maran, Temerloh, Raub di Pahang; Segamat, Tangkak di Johor; Jelebu di Negeri Sembilan; Kuala Lumpur; Kuala Selangor; Batang Padang, Kinta, Hulu Perak di Perak dan Padang Terap serta Perlis.

Dr Sharifa berkata, masalah atau kesan kesihatan akibat panas melampau boleh menyerang sesiapa saja namun ada beberapa golongan tertentu yang lebih berisiko seperti gelandangan, petani, warga emas dan kanak-kanak.

Malah, katanya, individu bersukan juga berisiko mengalami kerosakan otot akibat strok haba.

Justeru, masyarakat disarankan sentiasa mengambil langkah pencegahan dengan banyak minum air dan menggunakan kipas atau ada aliran udara jika panas serta mengurangkan aktiviti luar rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 1:44 PM