FOTO AFP
FOTO AFP
BERNAMA

Madinah: Cuaca panas ekstrem dengan purata suhu melebihi 40 darjah Celcius setiap hari di Arab Saudi boleh menyebabkan jemaah haji negara mengalami strok haba.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr Asraf Ahmad Qamruddin berkata cuaca panas dan kering boleh membawa kepada kenaikan suhu dan kehilangan air daripada badan sehingga mengakibatkan strok haba jika terdedah kepada cuaca tersebut.

"Strok haba jika tidak dicegah dan dirawat awal boleh menyebabkan kematian," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata jemaah haji perlu peka terhadap simptom strok haba seperti kulit kering dan berlaku kemerah-merahan, lidah dan bibir kering, pening kepala, kekejangan otot serta pengsan.

Menurutnya jemaah haji perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom-simptom tersebut di pusat kesihatan yang disediakan Tabung Haji (TH).

Dr Asraf berkata semua jemaah haji berisiko terkena strok haba, namun warga emas berusia lebih 60 tahun dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis dan buah pinggang, lebih berisiko.

"Cara pencegahan daripada mengalami strok haba adalah kita perlu mengelakkan daripada berada di bawah panas matahari yang terik untuk satu tempoh masa yang lama.

"Memastikan kita sentiasa menghidrasi diri kita dengan minum sekurang-kurangnya dua liter air, memakai payung atau losyen pelindung matahari dan memakai pakaian yang longgar," katanya.

Kumpulan pertama jemaah haji seramai 284 orang dijadual tiba di Madinah, esok.

Sementara itu, Pengurus Zon Satu Madinah bagi musim haji 1444 Hijrah Mohamad Abas mengingatkan jemaah haji supaya sentiasa memakai lencana disediakan TH bagi memudahkan petugas memberikan bantuan jika berlaku sebarang kecemasan.

Beliau berkata pihaknya telah bersedia menerima kedatangan jemaah haji yang akan menginap di Saja Al Madinah, Anwar Al Madinah Movenpick dan Emaar Royal Hotel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 3:49 PM