POLIS membuat siasatan di lokasi lemas dua kanak-kanak di Sungai Pulau Jering, di sini, petang semalam. FOTO Ahmad Ismail
POLIS membuat siasatan di lokasi lemas dua kanak-kanak di Sungai Pulau Jering, di sini, petang semalam. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail.


Segamat: Dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Pulau Jering, di Kampung Bukit Tunggal di sini, petang semalam.

Dua kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jementah disedari lemas oleh bapa salah seorang mangsa sebelum meminta bantuan orang awam.

Namun kedua-dua mangsa, Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13 dan Ahmad Muhammad Ibnu Hermee, 12, disahkan meninggal dunia di sebuah klinik swasta di sini

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada keluarga mangsa jam 5.10 petang mengenai kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua mangsa pergi untuk mandi di sungai berkenaan.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudiannya didapati lemas di lokasi berkenaan.

"Dua kanak-kanak itu disedari lemas oleh salah seorang bapa kanak-kanak itu kebetulan melalui lokasi kejadian di sungai berkenaan lalu meminta bantuan orang ramai.

"Dengan bantuan penduduk kampung, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari sungai berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Zamry berkata, kedua-dua mangsa seterusnya dikejarkan ke sebuah klinik swasta di sini namun disahkan meninggal dunia.

"Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.

"Tidak terdapat sebarang unsur-unsur jenayah ke atas kematian kedua-dua mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 4:13 PM