Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Walaupun dirinya diuji dengan kanser usus selain menderita penyakit kencing manis, namun ia tidak menjadi penghalang buat Mohamad Fadzil Razali, 30, untuk menjaga bapanya yang lumpuh akibat angin ahmar.

Mohamad Fadzil yang memakai beg stoma di perut menguruskan bapanya, Razali Md Nor, 57, walaupun ada masanya dia sendiri menanggung kesakitan.

Katanya, dia akan menjaga bapanya selagi hayat dikandung badan selain sentiasa berdoa semoga sakit yang dihidapinya dapat sembuh supaya dia boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

"Saya perlu kuat demi abah, tambahan pula kasihan melihat ibu, Rohani Mohamed, 50, yang terpaksa menguruskan abah sendirian sebelum ini. Keadaan abah memerlukan dia dibantu sepenuhnya termasuk diangkat untuk mandi selain tiub susu yang perlu sentiasa dibersihkan.

"Sejujurnya saya sedih dengan diri sendiri kerana tidak dapat menjaga abah dengan sempurna terutama ketika badan lemah akibat kanser ini. Namun, selagi saya berdaya saya tetap membantu.

"Sejak doktor mengesahkan saya menghidap kanser pada Jun lalu, saya kemudian berhenti kerja di Shah Alam, Selangor dan pulang untuk berubat di kampung sahaja," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Banggol Petai, di sini.

Mohamad Fadzil sekeluarga turut menerima kunjungan wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang datang menyampaikan sumbangan kewangan serta barangan keperluan asas.

Mohamad Fadzil yang juga anak sulong daripada empat adik beradik, berkata bapanya sempat membantu membawa dia berulang alik mendapatkan rawatan di hospital sebelum ini, sebelum diserang angin ahmar dua bulan lalu.

"Mengingatkan kesungguhan abah menjaga saya sebelum ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk sihat dan berbakti kepadanya.

"Biar saya saja yang menanggung sakit, kerana saya tak sanggup melihat abah terbaring kaku begini. Namun, kami menerima ujian ini dengan hati yang redha.

"Tidak lama lagi saya akan menjalani pembedahan untuk memasukkan semula usus sekali gus bebas daripada beg stoma dan tidak sabar untuk kembali sihat supaya boleh menjaga kedua-dua orang tua," katanya.

Menurutnya, dia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan yang digunakan untuk menampung kehidupan seharian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 9:32 AM
TUAN Zaimah (kanan) menyampaikan sumbangan kewangan serta barangan keperluan asas kepada keluarga Mohamad Fadzil. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
TUAN Zaimah (kanan) menyampaikan sumbangan kewangan serta barangan keperluan asas kepada keluarga Mohamad Fadzil. FOTO SYAHERAH MUSTAFA