Tren Al Mashaaer Al Mugaddasah Makkah Metro. FOTO ARKIB NSTP
Tren Al Mashaaer Al Mugaddasah Makkah Metro. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan menghantar 24 kakitangannya buat kali ke-10 ke Arab Saudi bagi menyokong operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro (Makkah Metro) sepanjang musim haji tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor berkata semua wakil daripada ERL dan anak syarikatnya, ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-MAS) itu, dipinjamkan untuk tempoh dua setengah bulan bagi membantu operasi dan pengurusan sembilan stesen.

"Kami berbesar hati kerana diberi kepercayaan sekali lagi oleh China Railway Construction Corporation Limited (CRCC) Arab Saudi untuk memastikan perkhidmatan keretapi berjalan lancar dari aspek pengurusan stesen dan bilik kawalan operasi. Pasukan tahun ini mengandungi empat pegawai kanan berpengalaman yang akan dipinjamkan buat kali kelapan.

"Kami juga menghantar enam anggota pasukan baharu yang akan menyertai operasi ini buat pertama kali. Ia pastinya akan menjadi pengalaman pembelajaran yang hebat untuk mereka," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan ERL hari ini.

Noormah berkata Makkah Metro meliputi sistem kereta api 18 kilometer yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina, selain beroperasi hanya tujuh hari dalam setahun bagi mengangkut jemaah semasa minggu puncak haji.

"Sistem Makkah Metro dikatakan mempunyai kapasiti tertinggi di dunia, dengan 12 gerabak dalam setiap set kereta api yang boleh membawa 3,000 penumpang pada setiap perjalanan atau lebih 72,000 penumpang sejam bagi setiap arah," katanya

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata inisiatif yang diambil oleh ERL untuk memperluas perkhidmatannya ke luar negara mencerminkan standard dan keupayaan yang tinggi untuk bersaing di peringkat global.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 3:35 PM