TERUJA berpeluang berkongsi kepakaran bagi menyokong tren Makkah Metro.
TERUJA berpeluang berkongsi kepakaran bagi menyokong tren Makkah Metro.
Muhamaad Razis Ismail

Memulakan karier sebagai penyelia jualan tiket di Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), siapa sangka, dia antara individu penting untuk operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro (Makkah Metro) sempena musim haji.

Menerusi kepakaran dan kebolehan yang dimiliki, Pengurus Kanan Perkhidmatan Pelanggan ERL, Putera Wan Jaffri Abdul Hamid, 49, sudah enam kali dipanggil untuk menyokong operasi Makkah Metro sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Pada tahun ini, khidmatnya kembali ditagih apabila sekali lagi diberi kepercayaan bersama 24 kakitangan ERL yang turut memegang beberapa jawatan penting.

Lebih mencabar, apabila dia yang dilantik sebagai ketua pasukan ERL terpaksa meninggalkan isteri dan anak yang baru berusia sebulan pada 18 April lalu selama tiga bulan untuk memenuhi tuntutan kerja.

Perkhidmatan tren Makkah Metro hanya beroperasi selama tujuh hari ketika musim haji bagi mengurangkan kesesakan dan pencemaran di samping menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih selesa serta selamat buat jemaah.

Perjalanan hanya akan mengambil masa kurang satu jam dengan menaiki Makkah Metro yang dahulunya memerlukan sejumlah 4,000 bas di atas jalan raya dan mengambil masa sehingga tujuh hingga lapan jam.

Tren terbabit boleh membawa sehingga 500,000 jemaah dalam masa enam hingga lapan jam yang disokong 5,000 tenaga kerja bagi memastikan operasi tren dan sembilan stesen berjalan lancar ketika musim haji.

BERSAMA rakan setugas dari Malaysia.
BERSAMA rakan setugas dari Malaysia.

Putera Wan Jaffri berkata, pada awal pembabitannya dengan ERL, dia sama sekali tidak menyangka pekerjaannya itu akan membawanya bertugas sehingga ke luar negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya bangga dan bersyukur apabila terpilih untuk membantu jemaah haji.

"Ini membuktikan syarikat tempatan dan kakitangan tempatan juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa dengan memberikan perkhidmatan bertaraf dunia.

"Terima kasih ERL kerana memberi peluang untuk terus memantapkan kerjaya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

KETUA Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Putera Wan Jaffri mewakili kakitangan ERL yang bertugas pada musim haji tahun ini.
KETUA Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Putera Wan Jaffri mewakili kakitangan ERL yang bertugas pada musim haji tahun ini.

Menurutnya, skop kerjanya sebagai timbalan pengurus stesen adalah memastikan logistik dan peralatan stesen dalam keadaan terkawal dan mencukupi.

"Pada masa yang sama, saya bersama kakitangan ERL yang lain akan turut membantu memberi latihan kepada kira-kira 7,000 pekerja sambilan untuk memastikan mereka bersedia dalam berdepan situasi sebenar nanti.

"Ini penting kerana sebarang kesilapan ketika operasi tren pada musim haji, pasti akan mengundang masalah besar," katanya.

PERSEDIAAN awal penting untuk memastikan Makkah Metro beroperasi dengan baik.
PERSEDIAAN awal penting untuk memastikan Makkah Metro beroperasi dengan baik.

Beliau mengakui menggalas tugas sebagai individu kedua terpenting di Makkah Metro bukan tugas mudah dan menuntut komitmen yang tinggi.

"Saya ke sini bukan untuk makan angin sebaliknya menuntut saya bersedia hampir sepanjang masa biarpun ketika sedang bercuti.

"Fizikal dan mental perlu kuat. Tidur memang tidak mencukupi kerana sering menerima arahan baharu dari semasa ke semasa untuk memastikan operasi berjalan lancar," katanya.

Tambahan pula, selepas dua tahun tidak beroperasi akibat pandemik Covid-19, sudah tentu lebih banyak tugas perlu dijalankan.

 PUTERA Wan Jaffri (depan) tidak lokek berkongsi ilmu.
PUTERA Wan Jaffri (depan) tidak lokek berkongsi ilmu.

"Sehingga kini, operasi Makkah Metro yang akan dilaksanakan pada musim haji nanti masih mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti sebelum ini.

"Bagaimanapun, ia mungkin akan berubah untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Oleh itu, kami perlu sentiasa bersedia sekiranya berlaku perubahan pada saat akhir," katanya.

Katanya, sepanjang bertugas di luar negara, dia berdepan pelbagai cabaran antaranya ribut pasir yang kerap berlaku apabila hampir tiba musim haji.

"Pernah satu ketika, ribut mengakibatkan beberapa kemudahan rosak termasuk cermin pecah dan khemah diterbangkan. Semua kerosakan perlu dibaiki segera sebelum tren beroperasi.

"Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak, masalah dapat diselesaikan dan operasi tren dapat berjalan seperti biasa ketika musim haji bermula," katanya.

MENYAMBUT Aidilfitri di perantauan.
MENYAMBUT Aidilfitri di perantauan.

Selain itu, budaya kerja di sini berbeza kerana orang tempatan akan fokus dengan tugasan masing-masing pada musim haji berbanding hari biasa.

"Daripada segi perkongsian maklumat dan kepakaran, mereka sentiasa terbuka menerima apa-apa cadangan penambahbaikan untuk memastikan kelancaran operasi tren," katanya.

Putera Wan Jaffri berkata, biarpun berdepan pelbagai cabaran, beliau sangat teruja apabila sekali lagi diberi peluang membantu jemaah haji.

"Saya sedih dan sebak setiap kali melihat kebanyakan mereka sudah berusia masih mempunyai kekuatan untuk menunaikan haji.

"Melihat semangat mereka membuatkan kita yang keletihan ini kembali bersemangat ingin menyediakan perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya.

TERPAKSA meninggalkan anak berusia sebulan dan isteri demi tuntutan kerja.
TERPAKSA meninggalkan anak berusia sebulan dan isteri demi tuntutan kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 6:20 AM