Azmi (tengah) menyampaikan taklimat kepada kakitangan Prasarana.
Azmi (tengah) menyampaikan taklimat kepada kakitangan Prasarana.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) komited membuat persediaan untuk memastikan operasi rel Laluan Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro bagi kemudahan jemaah haji tahun ini berjalan lancar.

Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, kerajaan Arab Saudi menyatakan rasa puas hati dengan persiapan dijalankan Prasarana sejak mengambil alih operasi daripada operator terdahulu, China Railway Construction Corporation (CRCC) pada Mei lalu.

“Status kemajuan projek adalah baik. Setiap minggu kami mengadakan mesyuarat dengan kementerian bertanggungjawab. Kerajaan Arab Saudi berpuas hati dengan kerja kita di sana setakat ini.

“Seramai 51 staf yang kebanyakannya dalam bidang penyelenggaraan rel berlepas untuk bertugas di Laluan Al Mashaaer Al Mugaddassah sehingga selesai operasi haji musim ini.

“Mereka dijadualkan pulang pada awal Oktober depan,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Prasarana menghantar staf secara berperingkat-peringkat berdasarkan tugasan yang perlu dilaksanakan. Ada yang pergi lebih awal dan ada yang akan bertugas selepas hari raya.

Secara keseluruhannya, syarikat berkenaan meletakkan 300 pekerja untuk bertugas di sana.

“Pada masa sama, kami dalam proses merekrut 7,000 kakitangan tempatan dari Arab Saudi dan negara Asia Barat.

“Selain itu, operasi Laluan Al Mashaaer Al Mugaddassah diketuai Bukhari Mohamed, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan ini.

“Kami memilih Bukhari berdasarkan pengalamannya dan beliau antara orang paling lama bertugas dalam Prasarana serta mula bertugas sejak zaman PUTRA-LRT sebelum memegang jawatan lain dalam Rapid KL dan Prasarana,” katanya.

Dengan jumlah nilai SAR 807 juta, kontrak yang dimenangi Prasarana membabitkan operasi dan penyelenggaraan sepenuhnya Laluan Al Mashaaer Al Mugaddasah – Makkah Metro dari Arafah ke Mina, perkhidmatan metro untuk kemudahan jemaah ketika musim Haji.

Kontrak adalah untuk tempoh tiga tahun sehingga 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:05 AM