NOORMAH ( dua kiri) menyaksikan Pengurus Besar Kanan (Haji) Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (tengah) menyerahkan bendera kepada wakil kakitangan ERL, Sanusi Harun yang akan bertugas pada musim haji tahun ini di Metro Makkah, semalam.
NOORMAH ( dua kiri) menyaksikan Pengurus Besar Kanan (Haji) Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (tengah) menyerahkan bendera kepada wakil kakitangan ERL, Sanusi Harun yang akan bertugas pada musim haji tahun ini di Metro Makkah, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengumumkan pihaknya bakal menghantar 33 kakitangan ke Arab Saudi bagi menyokong operasi Al Mashaaer Al Mugaddasah Makkah Metro (Makkah Metro) sempena musim haji tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Noormah Mohd Noor berkata, 2018 adalah tahun ketujuh syarikat menyediakan sokongan operasi kepada Makkah Metro dan mereka akan bekerjasama sekali lagi dengan China Railway Construction Corporation Limited (CCRC) iaitu syarikat operasi laluan rel yang dilantik kerajaan Arab Saudi untuk mengendalikan operasi laluan Makkah Metro tahun ini.

“Pencapaian ini direalisasikan melalui rekod prestasi yang baik, pengalaman operasi dan kakitangan yang cekap.

“Kerjasama dengan CCRC meningkatkan komitmen syarikat menyediakan perkhidmatan rel terbaik kepada jemaah haji,” katanya pada majlis pengumuman pinjaman kakitangan ERL bagi operasi haji Makkah Metro 2018 di sini, semalam.

Seramai 33 kakitangan ERL dan anak syarikatnya, ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-MAS) akan dipinjamkan selama dua bulan bagi menggalas tugas sebagai Timbalan Pengurus Stesen, Master Stesen, Pembantu Master Stesen dan Ejen Bilik Kawalan Stesen. Mereka bertolak ke Arab Saudi 1 Julai ini.

CCRC memerlukan lebih 5,000 individu melaksanakan operasi keseluruhan kereta api pada musim haji dengan skop tugas membabitkan pengurusan stesen dan operasi kawasan menunggu serta platform.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 1:22 AM