Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara enam tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menjerut leher dan mengugut isterinya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Zulfakhie Zakaria, 29, mengaku salah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 30 tahun dengan menjerut lehernya menggunakan tali leher.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk mendatangkan bencana kepada harta mangsa dengan niat untuk menimbulkan rasa takut.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di daerah ini, jam 11.15 pagi pada 8 April lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A KK dijatuhi hukuman penjara enam tahun.

Manakala, bagi pertuduhan mengikut Seksyen 506 KK, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 9 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 2:17 PM