- Foto hiasan
- Foto hiasan
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 24 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini hari ini, kerana memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi perbicaraan kes cubaan samun.

Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Zulhilman Zulkapeli, 31, didapati bersalah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi keterangan palsu di dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Asmadi Hussin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen 1, Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini, jam 10.30 pagi, 29 Mac 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh sabitan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Aziz Hasan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang menjadi saksi perbicaraan kes cubaan samun di Mahkamah Sesyen 1 Kuala Terengganu memberi keterangan yang bercanggah semasa sesi perbicaraan yang dijalankan dengan rakaman percakapan yang diambil sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:40 PM