Abu Arif diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Abu Arif diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Lelaki kurang upaya (OKU) yang pekak dan bisu mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan mencuri pakaian dan baju dalam penuntut perempuan serta menceroboh sebuah universiti awam di Kuala Nerus.

Tertuduh, Abu Arif Atemin, 38, yang berdepan dua pertuduhan didakwa secara berasingan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz dan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri sembilan helai seluar dalam dan tiga helai baju dalam milik tiga penuntut perempuan .

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kolej kediaman di sebuah universiti di Kuala Nerus, pada 8.37 malam 24 Januari lalu.

Abu Arif yang didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) itu berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh didakwa menceroboh dengan memasuki kawasan universiti berkenaan pada 6 petang pada hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua mahkamah kemudiannya menetapkan 2 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan jurubahasa khas.

Nor Diana dan Noor Mazrinie masing-masing membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din dan Iffah Nabihah Mohd Ishak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki OKU ditahan selepas disyaki mencuri pakaian dalam pelajar perempuan di sebuah universiti awam di Kuala Nerus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 5:22 PM