Wan Izzati Amir

Kuala Lumpur: Meskipun pihak berkuasa memberi kebenaran penjualan mercun dan bunga api secara terbuka menjelang musim perayaan, masih ada pembeli meminta jenis yang dikategorikan bahaya.

Tinjauan Harian Metro di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, semalam, mendapati peniaga bagaimanapun patuh dengan penjualan mercun dan bunga api yang dibenarkan pihak berkuasa.

Peniaga, Nuurfitrianshah Mohamad, 36, berkata, masih terdapat pembeli meminta jenis lain yang dilarang seperti mercun bola.

"Kami menjual 35 jenis bunga api yang dibenarkan dan tidak menjual bunga api serta mercun yang bahaya. Kami menjual dengan permit dikeluarkan polis.

"Pelanggan tidak sepatutnya mencari bunga api atau mercun tidak dibenarkan kerana jenis yang dibenarkan kerajaan ketika ini sudah mencukupi untuk kita meraikan Aidilfitri," katanya.

Dia yang berasal dari Sabah berkata, bunga api serta mercun memang mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan tahun ini sehingga dia perlu menambah bekalan.

Menurutnya, antara jualan yang mendapat sambutan ialah 'Happy Boom Flow of Sunset', 'Happy Boom Pili Crackers' dan 'Happy Boom Bee'.

"Mercun yang kami jual selamat dan sesuai dengan kanak-kanak. Peniaga juga akan beri pencerahan cara bermain.

"Jenis mercun agak bahaya atau letupan kita tidak akan jual kepada kanak-kanak seperti mercun mancis atau mercun cili padi melainkan ibu bapa dia bersetuju," katanya.

POLIS menahan seorang wanita kerana disyaki mencuri wang ibu saudara tirinya. FOTO tular
POLIS menahan seorang wanita kerana disyaki mencuri wang ibu saudara tirinya. FOTO tular

Dalam pada itu, suri rumah, Ana Yusna Kadir, 41, berkata, pemantauan orang dewasa amat penting ketika anak-anak bermain bunga api dan mercun.

"Ibu bapa perlu pantau anak-anak ketika mereka bermain bunga api atau mercun sebab kita tidak mahu berlaku perkara tidak diingini.

"Bagi saya, ibu bapa juga tidak perlu membazir perbelanjaan kita semata-mata mahu membeli bunga api serta mercun kepada anak-anak," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima sejumlah permohonan permit menjual mercun di daerah ini.

"Bagaimanapun, kita akan tapis permohonan mengikut syarat kelulusan dan prosedur ditetapkan sebelum meluluskan permit yang dipohon.

"Pada masa sama, kita juga melakukan tindakan penguatkuasaan seperti pemantauan peniaga yang menjual tanpa permit atau menjual jenis mercun tidak dibenarkan," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:42 PM