KERETA Perodua Myvi yang dipandu lelaki yang membawa pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit. FOTO ihsan PDRM
KERETA Perodua Myvi yang dipandu lelaki yang membawa pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki ditahan bersama pelbagai jenis mercun dan bunga api yang 'disumbat' ke dalam Perodua Myvi dipandunya di Jalan Shahab Perdana di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada jam 3.30 petang selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam kereta terbabit menemukan 279 kotak mengandungi 19 jenis mercun dan bunga api yang tidak mempunyai permit yang sah.

"Antara mercun yang dirampas ialah Happy Boom Mancis, Happy Boom Glories, Happy Boom Pili Cracker, Happy Boom Flower, Happy Boom Red Fire Crackers dan mercun bola.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya," katanya.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan kepada semua individu yang ingin membawa atau menjual mercun dan bunga api haruslah memiliki permit yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 3:49 PM