PIHAK Polis menunjukkan sejumlah mercun yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran. FOTO Recquel Raimi
PIHAK Polis menunjukkan sejumlah mercun yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran. FOTO Recquel Raimi
Recqueal Raimi


Tuaran: Lima lelaki ditahan bersama rampasan pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM5,000 dalam serbuan polis ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Termenung di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran pada jam 9.50 malam.

Katanya, ketika serbuan terdapat lima lagi lelaki berusia 19 sehingga 37 tahun termasuk penghuni berada di ruang tamu dan leka memilih mercun untuk dibeli secara borong.

"Hasil soal siasat mendapati penghuni terbabit adalah pembekal kepada empat pembeli secara borong yang dipercayai untuk dijual di sekitar daerah ini," katanya dalam sidang media di IPD Tuaran, hari ini.

Menurutnya, kelima-lima suspek mengaku menjalankan aktiviti penjualan dan pembelian mercun dan bunga api.

"Antara mercun dirampas adalah 180 kotak jenis Frosch B, 93 kotak jenis Happy Boom dan 40 kotak jenis Match Cracker.

"Selain itu, 10 kotak Colour Flower, lapan kotak Happy Boom Sun Sparkles, tujuh kotak Happy Boom Ground Boom Flower, enam kotak Double Parachutes, tiga kotak 10S Russian Candle dan dua kotak Laser Ecito," katanya.

Mohd Hamizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kerajaan dan tidak menjalankan perniagaan tanpa permit sah serta menjual barangan terlarang sama ada secara terbuka atau tertutup.

"Sebarang pertanyaan atau maklumat berkaitan jenayah di daerah ini, orang awam boleh tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian 088791933, 088791966 atau 088791977," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 3:31 PM