GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Kerajaan negeri menafikan berlakunya penurunan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah seperti diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebaliknya berlaku peningkatan kepada jumlah keluasan tanah rizab Melayu ketika ini, berbanding jumlah asal yang diwartakan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Jelasnya, keluasan asal Tanah Rezab Melayu di Kedah pada 1933 mengikut warta yang dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) adalah berjumlah 721,496.95 hektar.

"Bermula dari tahun 1933 hingga 19 Januari 2023, jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang dicabut keluar adalah sebanyak 4,751.37 hektar, namun ia diganti balik dengan tanah seluas 5,160.03 hektar.

"Ini menjadikan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah pada Januari 2023 ialah seluas 721,905.61 hektar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, berdasarkan jumlah terkini berkenaan, adalah didapati berlaku peningkatan jumlah tanah rizab Melayu berbanding keluasan asal yang dibuat sebelum ini.

"Angka ini menunjukkan berlaku peningkatan keluasan tanah rizab Melayu kira-kira 408 hektar pada 2023 berbanding keluasan asal pada 1933.

"Ini adalah keluasan yang direkodkan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah dan ini angka yang menjadi pegangan Kerajaan Negeri Kedah pada hari ini," katanya.

Nik Nazmi ketika Sidang Parlimen sebelum ini, memaklumkan berlaku penurunan tanah rizab Melayu di Kedah iaitu dari 721,888.93 hektar yang direkod pada 2021 kepada 716,537.28 hektar yang direkod pada 2022.

Beliau turut memaklumkan, jumlah keluasan asal tanah rizab Melayu di Semenanjung yang dinyatakannya adalah berdasarkan data Pejabat Tanah dan Galian (PTG) setiap negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 12:10 PM