Kawsan pantai di Bagan Nakhoda Omar yang indah. - Foto Laman Artikel DBP
Kawsan pantai di Bagan Nakhoda Omar yang indah. - Foto Laman Artikel DBP

Shah Alam: Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor mendesak kerajaan Selangor menghentikan pemberian tanah rizab Melayu kepada kaum lain di negeri ini.

Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) berkata tindakan itu jelas merugikan orang Melayu kerana tanah rizab yang diambil dan digantikan dengan tanah sedia ada mungkin tidak sama dari segi nilai tanah selain lokasinya tidak strategik.

Sehubungan itu, katanya kerajaan Selangor tidak perlu melayan permintaan ADUN Sekinchan Ng Sue Lim dari DAP yang mahu tanah rizab Melayu di Bagan Nakhoda Omar dipindah milik kepada penduduk Cina yang menetap di kawasan itu.

"Sebelum ini, mereka memohon tanah rizab Melayu di Sekinchan seluas 28.3 hektar (70 ekar) untuk diberi kepada penduduk Cina dan permohonan diluluskan pada 2010.

"Jadi kita nak tanya kerajaan negeri, sampai bila tuntutan seperti ini hendak dilayan kerana selagi kerajaan negeri tunduk (kepada permintaan itu), selagi itu permintaan seperti ini akan berterusan," katanya di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Halimaton berkata berdasarkan Laporan Audit Selangor pada 2014, sebanyak 4,154.1 hektar (10,265 ekar) tanah rizab Melayu dibatalkan di seluruh negeri ini.

Kuala Langat menjadi kawasan pembatalan tanah rizab Melayu paling banyak membabitkan kawasan seluas 1,951.4 hektar, diikuti Sepang (1,870.1 hektar).

Ketika berbahas pada sidang DUN 5 November lalu, Ng mahu nama kampung Cina di Sekinchan iaitu Bagan Nakhoda Omar ditukar kepada nama melambangkan Cina memandangkan keseluruhan penduduk di situ adalah kaum Cina.

Ng yang juga Timbalan Setiausaha DAP Selangor turut meminta status tanah rizab Melayu dan pewartaannya di perkampungan itu dibatalkan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 10:57 PM