TENGKU Adnan Tengku Mansor. FOTO arkib NSTP
TENGKU Adnan Tengku Mansor. FOTO arkib NSTP

Mohd Husni Mohd Noor

[email protected]

PUTRAJAYA:

“Apa yang saya sudah curi sedangkan saya banyak guna harta saya sendiri untuk membantu rakyat,” kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan dua muka surat bagi menjawab dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menuduhnya ‘pencuri’ pada siri ceramah pembangkang, di Putrajaya, malam tadi.

Tengku Adnan turut mempersoalkan kontrak mana yang beliau ambil, sedangkan beliau adalah ahli perniagaan dan diisytiharkan antara orang terkaya di Malaysia pada 1992, yang kemudiannya terbabit dalam politik.

“Sudahkah Tun (Dr Mahathir) lupa, waktu beliau susah, saya menyumbang tenaga mempertahankan beliau daripada serangan reformasi.

“Tun lupakah jasa saya ketika itu? Saya berpihak kepada beliau walhal Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih banyak menyumbang dalam perniagaan saya.

“Tun, saya bukan pencuri. Dengan harta yang saya ada ini, saya bersyukur kerana dapat membantu rakyat. Biarpun nilai harta saya semakin berkurangan saban tahun, saya gembira dapat membantu rakyat dengan duit yang saya ada,” katanya yang juga Setiausaha Agung BN.

Tengku Adnan berkata, menceburi politik tidak menambahkan kekayaannya seperti yang dituduh Dr Mahathir, sebaliknya menggunakan harta sendiri untuk membantu rakyat dan warga Putrajaya.

Mengenai tuduhan bahawa beliau ‘mengadu’ kepada Dr Mahathir kerana tidak dilantik sebagai menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sekitar 2004, Tengku Adnan berkata, tuduhan itu tidak benar kerana pada ketika itu Perdana Menteri adalah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, beliau digugurkan sebagai menteri pada zaman Abdullah dan menjawat jawatan menteri di bawah tampuk kepemimpinan Najib.

“Biarlah jawapan ini memberi pertimbangan kepada mereka yang cintakan kebenaran mengenai apa sebenarnya yang berlaku selain membuktikan bahawa Dr Mahathir sudah berbohong,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, beliau sudah maklum lebih awal mengenai program ceramah dihadiri Dr Mahathir malam tadi dan meminta warga Putrajaya, khususnya anak muda supaya tidak mengganggu majlis itu.

“Kami tahu ramai orang luar membanjiri sesi ceramah beliau, tetapi jangan lakukan fitnah.

“Tun, janganlah berpolitik dengan melakukan pembohongan serta cuba mengelirukan rakyat dan warga Putrajaya. Penduduk di sini sudah menjadi sebahagian daripada keluarga saya selama ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Dr Mahathir supaya menjalankan kempen berpaksikan kebenaran tanpa melakukan fitnah demi fitnah terhadap pihak lain.

“Tun, sudah-sudahlah. Zaman beliau sudah berlalu. Era pentadbiran, kepemimpinan dan perjuangan Tun sudah tidak relevan lagi.

“Jika Dr Mahathir yakin untuk menang, apa perlunya membuat surat terbuka kepada orang ramai khususnya ahli UMNO supaya menyokong beliau sedangkan selama ini beliau yang mengkhianati perjuangan UMNO dengan melempar pelbagai tuduhan,” katanya.

Katanya, adalah lebih elok Dr Mahathir membuat surat terbuka kepada ahli PKR bagi memohon maaf atas reformasi yang dilakukan berpunca daripada keputusan beliau ketika bergelar Perdana Menteri dahulu.

Mengakhiri kenyataan itu, Tengku Adnan meminta Dr Mahathir supaya tidak mempergunakan rakyat, merosakkan bangsa dan cuba membinasakan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 7:02 PM