BERNAMA

Kuala Lumpur: Penguasaan Bahasa Melayu kekal menjadi syarat bagi permohonaan taraf kewarganegaraan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, dalam perkara itu, beberapa proses saringan dilaksanakan antaranya melalui ujian bertulis, temu duga secara lisan dan bersemuka melalui ujian pengetahuan Bahasa Melayu pemohon.

"Sepertimana yang disyaratkan dalam Perlembagaan Persekutuan, pemohon kewarganegaraan di bawah Perkara 16 hendaklah mempunyai tahap pengetahuan asas Bahasa Melayu manakala pemohon kewarganegaraan di bawah perkara 19 pula hendaklah mempunyai pengetahuan mencukupi Bahasa Melayu.

"Ini bermakna, tahap penguasaan Bahasa Melayu bagi pemohon taraf kewarganegaraan ini diberi keutamaan kerana syarat ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Abdul Nasir Idris yang ingin tahu sejauh mana tahap penguatkuasaan Bahasa Melayu diberi perhatian untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Shamsul Anuar berkata setakat November lepas, sebanyak 32,000 permohonan kewarganegaraan diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Setakat Oktober lepas, KDN telah mengeluarkan sebanyak 10,381 keputusan permohonan kewarganegaraan dan jumlah ini melepasi sasaran yang ditetapkan setiap tahun iaitu sebanyak 10,000," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 5:07 PM