Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melakukan penambahbaikan terhadap modul ujian penguasaan Bahasa Melayu khususnya dalam kalangan pemohon warga emas, bagi permohonan taraf warganegara Malaysia secara naturalisasi agar dilihat santai, dengan tidak terlalu berstruktur atau bersifat rejimen serta tegas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahbaikan itu bagaimanapun tidak membabitkan penukaran segmen atau silibus sedia ada yang turut berkaitan dengan pengetahuan asas masyarakat majmuk di Malaysia, sebaliknya bagi mewujudkan suasana penilaian atau temuduga dalam suasana lebih santai kepada golongan sasar.

"Saya melihat ada beberapa penambahbaikan lagi untuk kita memudahcara dengan kita cuba wujudkan selepas ini suasana temuduga yang tidak terlalu bersifat rejimen dan tidak terlalu skema tetapi sebaliknya kita hendak olah dalam suasana yang lebih santai, terutama melihatkan usia pemohon yang mungkin sudah berumur 80 atau 90 tahun.

"Kalau sebut interviu (temuduga) maka akan menghadirkan rasa gemuruh terutama pada pemohon yang kategori umur sebegitu (warga emas). Jadi tekad kami di KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah kami akan lihat aspek penambahbaikan itu.

"Kita hendak lihat suasana temuduga itu dibuat dalam suasana lebih kondusif dengan menghilangkan rasa gemuruh pemohon memandangkan bila sebut sahaja 'temuduga', maka ia sering digambarkan sesuatu yang sangat berstruktur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan kerjanya ke Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias.

Terdahulu, Saifuddin Nasution mengadakan lawatan kerja ke Kompleks KDN Perak di Meru Raya, di sini, bagi meninjau pelaksanaan Program Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu Kewarganegaraan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, antara contoh aspek penambahbaikan itu adalah semudah cara penemu duga mengolah soalan kepada pemohon dalam suasana lebih santai bagi menghadirkan suasana selesa hingga menghilangkan gemuruh pemohon, dengan perkara itu dilihat memerlukan pegawai penemuduga menjalani latihan semula.

"Kita perlu latih semula pegawai-pegawai kita, kemudian berbanding menggunakan kaedah menemubual pemohon seorang demi seorang maka mungkin selepas ini temuduga boleh dijalankan dalam bentuk seperti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dengan gunakan 'slide' (bahan visual) pembentangan.

"Cara olahan soalan juga penting seperti berbanding meminta pemohon nyatakan tujuan ingin memohon kerakyatan negara ini, kita olah pertanyaan itu secara lembut dengan pertanyaan kenapa pemohon hendak dapatkan kad pengenalan (IC) warna biru," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution berkata, ketika ini, ada 12,000 baki permohonan warganegara Malaysia yang sedang diproses oleh JPN melalui proses naturalisasi pemohon yang lahir sebelum tanggal kemerdekaan Malaysia, iaitu berdasarkan peruntukan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

"Proses temuduga Bahasa Melayu bagi permohonan menjadi warganegara Malaysia melalui naturalisasi jatuh dalam Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang menyebutkan antaranya aspek penguasaan Bahasa Melayu.

"Saya hendak kongsikan bahawa jumlah pemohon menjadi warganegara menerusi Perkara 19 ini mencecah angka 12,000 pemohon daripada 49,000 jumlah permohonan yang sedang kami proses ketika ini. Jadi siri tenu duga Bahasa Melayu ini yang juga tercatat dalam perlembagaan memerlukan pemohon mematuhinya.

"Disebabkan jumlah angka itu kita letakkan tekad untuk memudahkan selain hendak membuat keputusan tanpa berlengah dengan tanpa mengetepikan semua aspek perundangan," katanya.

Pada 23 Oktober tahun lalu, Saifuddin dilaporkan media berkata Ujian penguasaan Bahasa Melayu yang menjadi syarat dikenal pasti sebagai antara punca kebanyakan pemohon warga emas gagal bagi permohonan taraf warganegara Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 3:33 PM