LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pegawai yang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berdasarkan siasatan, katanya, ketika anggota polis peronda sedang menjalankan tugas di Jalan Cheras berhampiran persimpangan lampu isyarat Pudu Ulu menghala Maluri pada 4.10 pagi, melihat sebuah Perodua Myvi dipandu secara melawan arus.

"Polis bertindak mengejar dan berjaya menahan kereta itu di persimpangan lampu isyarat menghala Flat Sri Sabah.

"Hasil semakan, kereta dipandu lelaki berusia 35 tahun bekerja sebagai penjawat awam dalam keadaan mabuk.

"Suspek menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis semasa pemeriksaan dilakukan. Suspek tidak memberikan kerjasama dan berlaku pergelutan semasa tangkapan dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pegawai polis ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan melawan arus di Jalan Cheras di sini, kelmarin.

Lelaki terbabit turut didakwa menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis yang memeriksanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 8:42 PM