GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirayu supaya segera campur tangan untuk mengelakkan lebih 10,000 doktor kontrak di seluruh negara mogok mulai esok hingga Rabu ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, melancarkan mogok adalah hak asasi semua pekerja termasuk doktor kontrak.

Malah katanya, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

"Doktor-doktor kontrak berkenaan kecewa kerana masalah lantikan ke jawatan tetap belum diselesaikan meskipun sudah berlanjutan selama tujuh tahun.

"Campur tangan Perdana Menteri dengan jaminan segera menyelesaikan masalah mereka mungkin dapat mengelakkan mogok dilancarkan esok yang dibimbangkan akan melumpuhkan operasi di hospital awam di seluruh negara.

"Perdana Menteri perlu mendengar protes mereka bahawa wujud amalan diskriminasi dan penindasan ke atas doktor-doktor kontrak.

"Saya juga menyeru Perdana Menteri supaya menasihati Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak mengugut doktor-doktor kontrak berkenaan dengan tindakan disiplin dan tatatertib di bawah Public Officers (Conduct and Discipline) Regulation 1993," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Doktor kontrak merancang melakukan mogok selama tiga hari di seluruh negara bermula esok, susulan dikatakan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Kumpulan doktor kontrak juga dilaporkan tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu meskipun dinasihatkan KKM tidak berbuat demikian.

Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia di Instagram, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Dr Jamal berkata, mereka tidak akan hadir bertugas selama tiga hari, dengan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa hari ini dilaporkan menegaskan memahami kesukaran dialami golongan berkenaan, namun mogok bukan penyelesaiannya.

"KKM ada mengeluarkan peringatan kepada doktor dan mengingatkan mereka mengenai kepentingan perkhidmatan kesihatan," katanya.

Ditanya sama ada KKM akan mengambil tindakan terhadap doktor kontrak yang terbabit dalam mogok berkenaan, Dr Zaliha dilaporkan menjawab mereka tertakluk kepada integriti penjawat awam dan etika perkhidmatan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 8:54 PM