OPERASI Hospital Tuanku Fauziah, Kangar berjalan seperti biasa. FOTO Aizat Sharif.
OPERASI Hospital Tuanku Fauziah, Kangar berjalan seperti biasa. FOTO Aizat Sharif.
Aizat Sharif


Kangar: Tiada sebarang demonstrasi Mogok Doktor Malaysia berlaku di kemudahan kesihatan di Perlis hari ini.

Tinjauan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) sehingga jam 1 tengah hari tadi, mendapati operasi perkhidmatan pesakit masih berjalan seperti biasa dan tidak berdepan sebarang gangguan.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan yang bertugas di hospital itu juga dilihat turut mengetatkan kawalan dengan melakukan rondaan secara kerap di sekitar kawasan hospital terbabit.

Malah, operasi di klinik kesihatan daerah juga turut berjalan seperti biasa dan pelanggan dan pesakit dilihat terus mendapatkan rawatan tanpa sebarang kekangan.

Selain itu juga, tidak berlaku sebarang protes besar-besaran seperti doktor kontrak bertindak mengambil cuti kecemasan (MC) menyokong mogok yang dianjurkan itu.

Exco Kesihatan Negeri Perlis, Megat Hashirat Hassan ketika dihubungi berkata, buat masa ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung penganjuran mogok berkenaan di mana jua kemudahan kesihatan termasuk di HTF di negeri itu.

"Saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan menerusi rundingan dengan sebaiknya bagi memastikan pesakit yang memerlukan rawatan tidak terjejas.

"Apa yang penting adalah nasib pesakit ini dan disebabkan itu saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara rundingan antara pihak terbabit dengan sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 2:50 PM