TINDAKAN mogok bukan penyelesaian terbaik kepada sebarang masalah berkaitan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain. FOTO Arkib NSTP
TINDAKAN mogok bukan penyelesaian terbaik kepada sebarang masalah berkaitan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain. FOTO Arkib NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU) tidak menyokong mogok oleh doktor kontrak termasuk membabitkan graduan perubatan dari universiti itu.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah berkata, tindakan mogok bukan penyelesaian terbaik kepada sebarang masalah berkaitan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain.

"Menganjurkan mogok secara amnya boleh menyebabkan perkhidmatan terjejas selama mana tempoh penganjuran dan bisanya ia bertujuan menyampaikan mesej tertentu kepada pihak berkenaan.

"Tetapi perkara ini perlu ditimbang dengan teliti memandangkan perkhidmatan kesihatan adalah perkhidmatan kritikal terutamanya membabitkan kehidupan manusia dan kesejahteraan sejagat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan doktor-doktor kontrak di seluruh negara akan tetap meneruskan rancangan untuk mengadakan mogok bermula esok hingga Rabu ini meskipun selepas jemaah kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak pada Jumaat lalu.

Dr Jafri berkata pihaknya menyedari isu doktor kontrak berlaku sejak lama dan mengakui permasalahan berkisar doktor kontrak telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat terutama kepada pihak yang terkesan.

"Kebanyakan doktor kontrak merungut tiada hala tuju laluan kerjaya, selain sistem kontrak ditawarkan masih tidak jelas dan tiada ketelusan dengan kita sering juga mendengar luahan serta menerima aduan lebihan kerja kerana beban pesakit yang tinggi dan kekurangan tenaga kerja.

"Perkhidmatan kesihatan di negara ini perlu terus dianggap sebagai sektor kritikal begitu juga bagi petugas kesihatan dan ini disebabkan kompleksiti sektor ini serta cabaran, risiko dan jerih perih yang perlu dihadapi anggota kesihatan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka," katanya.

Justeru, beliau berpendapat petugas kesihatan adalah aset utama Perkhidmatan Kesihatan perlu terus diberi perhatian yang sewajarnya termasuk imbuhan yang setimpal buat perkhidmatan mereka.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendaklah meneliti semula elaun sistem tugas atas panggilan dan keperluan serta kepentingan untuk meneruskan sistem tugas atas panggilan ini dengan sewajarnya.

PADU turut mengesyorkan supaya JPA meneliti semula pembatalan biasiswa untuk pelajar perubatan kerana ia sangat memberi kesan kepada pelajar perubatan terutamanya penuntut golongan B40.

Dr Jafri berkata pihaknya percaya kerajaan dari semasa ke semasa akan memastikan bahawa segala permasalahan dan permintaan ini diteliti sesuai isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.

"PADU meletakkan harapan tinggi dan yakin kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa akan mencari titik noktah terhadap isu doktor kontrak dan beberapa isu yang wujud dalam sektor kesihatan ini.

"Hakikatnya, isu ini tidak boleh diselesaikan secara sendirian oleh KKM, sebaliknya memerlukan penyelesaian secara integrasi membabitkan semua kementerian berkaitan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 11:46 AM