GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Essa Abu Yamin

Kuala Lumpur: Sekretariat Hartal Doktor Kontrak tidak terbabit dan tiada sebarang pengaruh secara langsung atau tidak langsung dalam mogok doktor kontrak yang diadakan mulai hari ini sehingga Rabu ini.

Sekretariat Hartal Doktor Kontrak dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah menjelaskan pendirian itu kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan media sebelum ini dan tetap dengan pendirian berkenaan.

"Walaupun kami tidak terbabit, kami percaya mereka ada hak untuk membantah dan menyerahkan keadaan bantahan kepada mereka.

"Kami berharap penjagaan pesakit tidak terjejas dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dapat disambung semula selepas bantahan selesai," katanya.

Dalam kenyataan berkenaan, Dr Zaliha baru-baru ini ada membincangkan mengenai jawatankuasa peringkat tinggi yang baharu untuk menangani masalah doktor kontrak.

"Kami percaya ia adalah salah satu langkah yang betul untuk dilaksanakan memandangkan ia membabitkan beberapa pegawai kementerian bagi mempercepatkan perbincangan dan analisis.

"Bagaimanapun, kami menggesa Dr Zalina untuk memasukkan Hartal Doktor Kontrak sebagai ahli jawatankuasa bagi mewakili doktor kontrak yang sewajarnya dalam jawatankuasa berkenaan," katanya.

Katanya, tanpa perwakilan yang sepatutnya, jawatankuasa tidak akan cukup berkesan bagi menyelesaikan sesuatu isu dan akan sama seperti beberapa jawatankuasa terdahulu yang meneliti isu terbabit.

"Langkah seterusnya ialah menubuhkan suruhanjaya penjagaan kesihatan negara yang akan menyelia, memutuskan dan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di dalam negara.

"Kami akan bekerjasama dengan menteri kesihatan dan menteri lain untuk mempercepatkan proses berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 2:05 PM