KEADAAN terkawal dan tiada kelibat doktor kontrak berkumpul sekitar tinjauan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KEADAAN terkawal dan tiada kelibat doktor kontrak berkumpul sekitar tinjauan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tiada perarakan atau demonstrasi awam dikesan berlaku di fasiliti kesihatan awam di negeri ini, susulan mogok yang dilancarkan doktor kontrak mulai hari ini hingga Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata pemantauan fasiliti kerajaan sejak pagi tadi mendapati perkhidmatan perawatan pesakit di klinik kesihatan dan hospital, dan semua prosedur elektif yang dijadualkan berjalan lancar seperti biasa.

Katanya, tiada kesesakan luar biasa di fasiliti kesihatan awam negeri ini dan bilangan Pegawai Perubatan yang tidak hadir bertugas atau bercuti juga adalah terkawal.

"Pemantauan berterusan dilakukan oleh semua Ketua Pusat Tanggungjawab bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada pesakit samada di klinik atau hospital negeri ini berjalan lancar.

"Segala permasalahan pasti ada penyelesaian namun mengadakan mogok bukanlah solusi terbaik.

"Saya berterima kasih kepada doktor kontrak di Johor kerana tidak membabitkan diri di dalam rancangan untuk mogok selama tiga hari dan terus menawarkan khidmat yang terbaik untuk semua pesakit.

"Saya juga ingin menyatakan sekali lagi kepada doktor kontrak di Johor, walaupun perkara ini bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun sebagai wakil kerajaan saya terbuka mendengar rintihan doktor kontrak supaya dapat sampaikan hasrat mereka kepada kementerian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Doktor kontrak merancang melakukan mogok selama tiga hari di seluruh negara bermula hari ini, susulan dikatakan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Dalam pada itu, Ling mencadangkan Kabinet menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menyelesaikan isu membabitkan doktor kontrak.

"Jawatankuasa Peringkat Tertinggi ini dicadangkan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi menangani isu doktor kontrak ini.

"Ia bagi membolehkan isu ini dapat digerakkan segera bagi mencari penyelesaian kepada masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 4:04 PM