GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi jaminan akan mengusahakan penyelesaian terbaik berhubung isu doktor kontrak dalam tempoh 100 hari Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah pentadbirannya.

Khairy berkata, perkara itu kini dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan sektor perkhidmatan awam dan hasilnya akan diumumkan kelak.

"Saya akan usahakan penyelesaian terbaik dapat diberikan kepada isu doktor kontrak. Ada butirannya yang saya belum mahu umumkan lagi sebab masih dalam perbincangan dengan Perbendaharaan (Kementerian Kewangan) dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Dalam 100 hari, kita akan dapat melihat penyelesaian yang baik kepada isu doktor kontrak ini," katanya dalam temu bual khas mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari KKM di sini.

Pada 26 Julai, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilapor berkata, kerajaan bersetuju melanjutkan kontrak kira-kira 14,000 doktor perubatan, pergigian dan pegawai farmasi bagi tempoh dua tahun (atau 7,000 setiap kohort/tahun) yang akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.2 bilion.

Menyentuh hal lain, Khairy berkata, dalam masa 100 hari juga, KKM akan berusaha ke arah mengurangkan peratusan tunggakan pesakit bukan Covid-19 di hospital kepada 20 peratus bagi pembedahan am (elektif) melalui khidmat luaran ke fasiliti swasta di seluruh negara.

Katanya ia melibatkan individu yang memerlukan pembedahan am elektif untuk kes kanser dan bukan kanser yang boleh memudaratkan jika menunggu lama.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, KKM juga mensasarkan 70 peratus klinik pergigian akan menjalankan semula rawatan seperti tampalan dan prosedur pembersihan gigi (Aerosol Generating Procedure atau AGP).

Tidak hanya tertumpu kepada usaha melawan virus Covid-19 semata-mata, Khairy turut memberi penekanan kepada isu kesihatan mental dalam hala tuju 100 hari KKM.

Katanya, peratusan orang ramai yang mengetahui kewujudan talian sokongan untuk mendapatkan bantuan masih rendah, justeru, KKM akan meningkatkan kesedaran menerusi 'Kempen Media Lets TALK' sebagai usaha mencapai kesejahteraan mental yang lebih baik.

"Kami juga akan menambah bilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam advokasi kesihatan mental. Sekarang kami dah ada 20 NGO, dan kami akan tambah 20 lagi. Kami akan membiayai mereka untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan mental," katanya.

Beliau berkata, KKM juga akan meningkatkan perkhidmatan kesihatan primer kepada masyarakat melalui penggunaan telekonsultasi di klinik kesihatan yang dipilih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 10:43 PM