FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Situasi pandemik Covid-19 terkini yang dilihat masih belum menunjukkan sebarang petanda untuk reda, turut menyebabkan keperluan kakitangan perubatan kini kritikal dan perlu diberikan lebih tumpuan.

Namun, rasa bangga apabila doktor, jururawat, vaksinator dan semua lapisan petugas dalam sistem perubatan yang memainkan peranan penting di saat pandemik global ini dilihat tidak mahu 'menyerah kalah.'

Peranan mereka boleh dilihat di sebahagian besar petugas barisan hadapan dalam sektor kesihatan yang kini ditugaskan untuk mengawal Covid-19 bukan saja di hospital dan pusat kuarantin, malah di pusat pemberian vaksin (PPV).

Hakikatnya, ia menjadikan keperluan penambahan kakitangan seperti doktor berstatus jawatan secara tetap perlu dilakukan segera berdasarkan keadaan yang begitu mendesak. Ia berdasarkan kepada wujud rungutan daripada doktor muda baru-baru ini yang dikatakan akan diberikan taraf kontrak selama dua tahun sebaik selesai housemanship.

Hartal Doktor Kontrak membabitkan pegawai perubatan kontrak adalah isu kritikal kerana golongan ini adalah 'sistem sokongan' kepada sektor kesihatan negara daripada lumpuh. Difahamkan, seramai lebih 23,000 pegawai perubatan yang tidak diserapkan dalam perkhidmatan perubatan sedangkan mereka sudah menamatkan pengajian dan melakukan housemanship sejak 2016.

Malah, perangkaan menunjukkan, 3.41 peratus sahaja diserapkan ke perjawatan tetap oleh kerajaan. Persoalan yang timbul, bilakah nasib rakan mereka berstatus kontrak yang lain itu mahu dinoktahkan.

Tidak ketinggalan, ada khabar angin kononnya akan berlaku mogok dalam kalangan pegawai perubatan kontrak jika tiada sebarang tindakan daripada kerajaan untuk menyerapkan mereka ke perjawatan tetap.

Biarpun perlanjutan kontrak dilakukan sehingga 2022, namun ia dilihat bukan penyelesaian konkrit kerana khidmat doktor ini adalah keperluan demi kesinambungan kepada kestabilan sistem kesihatan negara pada masa kini dan juga masa depan.

Hakikatnya, perkhidmatan mereka bukan sekadar untuk mendepani pandemik Covid-19 semata-mata, malah peranan dan khidmat mereka jauh merentasi pelbagai lagi keperluan dan pelbagai rawatan penyakit di negara ini.

Bunyinya agak sedap, apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba baru-baru ini, dilaporkan berkata, pengambilan graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak dihentikan, malah diteruskan.

Dr Adham berkata, bermula Disember 2016, perjawatan graduan perubatan secara kontrak dibuat susulan kekangan perjawatan tetap.

Keadaan itu dikaitkan bagi membolehkan pengambilan graduan perubatan tidak hanya bergantung kepada kekosongan tetap yang terhad.

"Kontrak sehingga tiga tahun diberikan kepada graduan perubatan menjalani latihan siswazah dan kemudian disambung dua tahun lagi untuk membolehkan khidmat wajib mereka lengkap," katanya.

Perjawatan kontrak juga menyebabkan doktor muda ini juga tidak dapat menjadi pakar kerana tempoh perkhidmatan antara kriteria untuk mereka dijadikan pakar dalam bidang masing-masing.

Harus diakui 'gerakan' hartal oleh graduan perubatan ini membuktikan mereka tetap bersatu untuk terus berkhidmat kepada masyarakat menerusi sistem kesihatan kerajaan.

Cuma, mereka mahu suara keluhan mereka didengari kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memberikan satu penyelesaian atau keputusan kukuh untuk dijadikan hala tuju dalam perkhidmatan mereka kepada negara selain bersama 'berperang' menentang Covid-19.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 6:15 AM