SM Faisal (kiri) ketika hadir perbicaraan kes di Mahkamah Majistret. FOTO Saifullizan Tamadi.
SM Faisal (kiri) ketika hadir perbicaraan kes di Mahkamah Majistret. FOTO Saifullizan Tamadi.
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret hari ini melepas dan membebaskan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin atas tuduhan menyebabkan kecederaan bekas isterinya, Emilia Hanafi selepas wanita itu menarik balik kes.

Majistret Nadia Othman, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam bela SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader supaya anak guam dibebaskan daripada pertuduhan hasil persetujuan Emilia untuk menarik balik kes.

"Saya percaya pihak-pihak (SM Faisal dan Emilia) sudah berdamai dan mencapai jalan penyelesaian.

"Saya melepas dan membebaskan SM Faisal daripada pertuduhan, manakala wang jaminan dikembalikan," katanya.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas di Brickfields, di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam pemerhati mewakili Emilia, Nizam Bashir berkata, kedua-dua pihak mencapai penyelesaian supaya semua pertikaian diselesaikan secara baik.

Akberdin pula berkata, pihaknya dan pihak Emilia bersetuju untuk tidak mendedahkan terma penyelesaian kepada umum.

"Selepas ini, kedua-dua pihak akan ambil tindakan untuk tidak meneruskan semua tuntutan di Mahkamah Syariah dan berharap semua berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, SM Faisal ketika ditemui media menzahirkan rasa syukur dengan penyelesaian kes dan mahu menumpukan perhatian kepada anak.

"Alhamdulillah, kes sudah selesai dengan cara baik pada Ramadan ini. Kes berjalan bertahun-tahun dan sekarang nak fokus anak balik dengan cara baik," katanya.

Emilia pula memaklumkan mengambil berkat bulan yang mulia untuk menarik kembali kes demi anak, selain menyerahkan kepada peguam untuk isu berbangkit pada masa akan datang.

Pasangan itu berkahwin pada 2004 sebelum bercerai 12 tahun kemudian, manakala hak penjagaan tiga anak mereka diberikan sepenuhnya kepada Emilia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 5:06 PM