SM Faisal (kiri) dan Emilia (gambar fail) FOTO Arkib NSTP
SM Faisal (kiri) dan Emilia (gambar fail) FOTO Arkib NSTP
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menangguhkan prosiding kes Emilia Hanafi atas dakwaan dipukul bekas suaminya yang juga ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, kepada 24 Mac ini.

Majistret Nadia Othman, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan SM Faisal, supaya penyataan saksi oleh Emilia tidak dibaca walaupun beberapa perenggannya digugurkan kerana akan mengganggu perjalanan prosiding.

Terdahulu, peguam bela SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader, menyifatkan penyataan saksi dibaca dengan beberapa perenggannya digugurkan sebagai tidak praktikal.

"Mahkamah perlu keluarkan perintah supaya perenggan dalam penyataan saksi yang tak relevan dengan pertuduhan dikeluarkan.

"Jika mahkamah membenarkannya, saya memohon penyataan saksi tidak dibaca hari ini kerana akan memporak-perandakan sekali gus tiada turutan dalam pernyataan itu," katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, menegaskan tidak adil jika penyataan saksi itu tidak dibaca.

"Sebelum ini, saksi datang ke mahkamah untuk beri keterangan lisan dan hari ini ditetapkan untuk saksi membaca pernyataan secara bertulis.

"Saksi perlu meneruskan dengan membaca pernyataannya dengan menggugurkan beberapa perenggan seperti dimohon pihak pembelaan," katanya.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas di Brickfields, di sini, antara 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 3:23 PM