Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menangguhkan perbicaraan kes ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin yang didakwa mencederakan bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Majistret Nadia Othman menetapkan 31 Oktober selepas peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal memohon penangguhan kerana tidak menerima salinan pernyataan saksi baharu.

Saksi pendakwaan yang juga adik Emilia, Elisa Nani dipanggil memberi keterangan hari ini, menggantikan anak pasangan berkenaan.

"Kami ingin menjimatkan masa mahkamah kerana perbicaraan hanya pada sebelah pagi. Sebab itu kami perlukan salinan pernyataan saksi kerana kalau keterangan secara lisan hari ini tidak sempat.

"Kami akan soal balas saksi pada tarikh baharu. Kalau boleh selepas ini, dua.. tiga hari sebelum saksi dipanggil, kami akan menerima pernyataan saksi berkenaan," kata Akberdin.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin pula berkata, anak pasangan itu yang berusia 16 tahun sepatutnya hadir untuk memberi keterangan hari ini, namun tidak dapat berbuat demikian kerana menduduki peperiksaan di sekolah.

"Remaja itu perlu mengambil peperiksaan pada bulan ini. Untuk tidak mengganggu proses berkenaan, jadi pendakwaan memanggil saksi lain (Elisa Nani).

"Membabitkan permohonan mengenai salinan pernyataan saksi, kami mengambil maklum dan akan menyerahkannya sebelum saksi memberi keterangan," katanya.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang, pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 1:57 PM