KEADAAN kereta yang remuk selepas terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Parit Semerah-Parit Kudus. FOTO Ihsan Polis.
KEADAAN kereta yang remuk selepas terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Parit Semerah-Parit Kudus. FOTO Ihsan Polis.
Togi Marzuki


Pontian: Nahas dua kenderaan di Kilometer 5.7, Jalan Parit Semerah, Parit Kudus, di sini, hari ini yang menyebabkan tiga maut dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian pada 5.20 petang itu membabitkan kereta Proton Saga dan Proton Perdana.

"Hasil siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dari arah Parit Semerah ke Parit Kudus dipercayai hilang kawalan dan bertembung Proton Perdana dari arah Parit Kudus.

"Akibat kemalangan itu, tiga termasuk pemandu Proton Saga masing-masing berusia 22, 28 dan 58 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

"Sementara seorang penumpang kereta sama berusia 35 tahun cedera di beberapa bahagian badan," katanya.

Menurutnya, pemandu kereta Proton Perdana berusia 27 tahun pula cedera di beberapa bahagian badan.

Katanya, tiga yang maut dan dua yang cedera dihantar ke Hospital Pontian untuk tindakan lanjut.

"Lokasi kejadian jalan basah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 9:20 PM