Batu Pahat: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut manakala abangnya parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Parit Raja Darat, Parit Raja, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa, Muhammad Zamri Muhd Said dari Seri Bengkal, Seri Gading dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang depan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke sebuah klinik dekat Parit Raja.

Abang mangsa, Muhammad Iskandar Muhd Said, 24, yang memandu Toyota Corolla cedera parah manakala pemandu Proton Saga Sajali Katni, 51, dari Parit Surau Mukim 8, Parit Raja, hanya cedera ringan.

Usaha membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam selepas menerima panggilan kecemasan jam 5.51 petang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki dua beradik berkenaan dalam perjalanan dari Parit Raja menghala Parit Raja Darat.

Menurutnya, sebaik tiba di satu selekoh, kereta itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Saga berkenaan menyebabkan mangsa yang maut tersepit dan usaha mengeluarkannya dibantu sepasukan anggota bomba,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam Mustafa Yusof berkata, sebuah jentera bersama empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 5.51 petang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua kereta jenis Proton Saga dan Toyota Corolla terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:22 AM