SULAIMAN. FOTO arkib NSTP
SULAIMAN. FOTO arkib NSTP
Amir Mamat


Melaka: Isu pertukaran Ketua Menteri Melaka kembali hangat diperkatakan susulan ada pihak yang mendakwa jawatan berkenaan bakal bertukar tangan pada awal bulan depan.

Spekulasi itu mula bertiup kencang minggu lalu ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) sedang bersidang apabila tular nota suara yang mendakwa wujud gerakan diketuai oleh seorang pemimpin Umno negeri untuk menjatuhkan Ketua Menteri sedia ada, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dakwa individu tidak dikenali itu, gerakan sulit itu turut membabitkan beberapa pemimpin Umno negeri dan bahagian Masjid Tanah untuk menamakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri merangkap Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menggantikan Sulaiman.

Bagaimanapun, Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri ketika ditemui baru-baru ini, enggan mengulas lanjut mengenai isu terbabit.

"Tak payah (tidak perlu ulas), when I'm here, no more politic okey, no politic. (Bila saya di sini, tiada lagi politik okey, tiada politik)," katanya ketika melawat sebuah kilang di Batu Berendam, baru-baru ini.

Sementara itu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu yang sedang bercuti, ketika dihubungi menafikan spekulasi terbabit, sekali gus menolak dakwaan beliau akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada awal bulan depan seperti didakwa sebuah akhbar berbahasa Cina dan beberapa portal berita, semalam.

"Tidak betul (laporan itu)," katanya ringkas ketika dihubungi media, pagi ini.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan Sulaiman akan melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada Ab Rauf sebagai Ketua Menteri baharu dengan istiadat angkat sumpah akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada 3 Januari ini.

Malah, timbul spekulasi yang mendakwa Sulaiman sudah menghantar surat pemakluman pelepasan jawatan berkenaan kepada Mohd Ali serta Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Laporan media itu turut mendakwa, susulan pelantikan ketua menteri baharu itu kelak bakal menyaksikan perubahan membabitkan barisan exco negeri dengan tiga daripada mereka dikatakan akan digugurkan.

Sejak BN menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November tahun lalu, situasi politik di negeri ini beberapa kali berdepan pergolakan apabila timbul dakwaan kononnya jawatan disandang Sulaiman akan bertukar tangan, namun, kedua-dua pemimpin itu, Sulaiman dan Ab Rauf tetap menafikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 12:47 PM