Amir Mamat


Ayer Keroh: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memasuki pejabatnya di Seri Negeri, di sini, buat kali terakhir, pagi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu tiba di Kompleks Seri Negeri jam 9 pagi dikatakan hanya bertemu pegawai dan kakitangan pejabatnya sebelum keluar jam 11 pagi.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Sulaiman sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya, kelmarin.

Susulan itu, beberapa nama pemimpin Umno negeri disebut-sebut untuk menggantikan Sulaiman, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Adun Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka dalam tempoh terdekat berhubung peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka ke-13 itu.

Difahamkan, istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Ketua Menteri Ke-14 akan diadakan esok di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di sini, jam 3 petang.

SULAIMAN keluar dari Kompleks Seri Negeri jam 11 pagi tadi. FOTO Amir Mamat
SULAIMAN keluar dari Kompleks Seri Negeri jam 11 pagi tadi. FOTO Amir Mamat

Spekulasi pertukaran Ketua Menteri Melaka kembali hangat apabila Sulaiman dikatakan sudah meletakkan jawatan.

Difahamkan, tindakan itu diambil selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid kelmarin, sekali gus bakal memberi laluan kepada Ab Rauf untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 11:32 AM