Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kerajaan masih belum memutuskan penetapan kriteria kelayakan individu atau pihak yang menerima subsidi bersasar, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, usaha untuk membangunkan pengumpulan data yang komprehensif sedang dibuat bagi membantu kerajaan menetapkan kriteria yang bersesuaian terhadap pihak atau individu yang akan menerimanya.

"Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40 tidak terjejas," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) bilakah subsidi bersasar akan dilaksanakan dan adakah kerajaan boleh menjamin harga barangan tidak akan meningkat apabila ia dilaksanakan.

Ahmad turut memaklumkan satu pasukan petugas khas telah diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang terlibat bagi meneliti keperluan serta kebolehlaksanaan pemberian subsidi secara bersasar dan mengenal pasti kaedah berkesan, menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan paling minimumkan kepada kerajaan.

"Ini termasuklah mengumpulkan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 12:00 PM