GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi tahun ini walaupun berdepan dengan ketidaktentuan global, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, berdasarkan kepada prestasi pertumbuhan ekonomi pada 2022 dan 2023, kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus.

"Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2023 sebagai 4.4 peratus dan 4.0 peratus.

"Jangkaan ini adalah selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global yang diunjur lebih perlahan pada tahun ini," katanya ketika menjawab pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) menyatakan pelan kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini.

Ahmad berkata, kerajaan akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan saksama untuk rakyat.

"Serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik dengan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal," katanya.

Beliau berkata, untuk tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 12:22 PM