PROTON X70 dengan ciri baharu.
PROTON X70 dengan ciri baharu.
Lizam Ridzuan

UDARA lebih bersih bakal dinikmati pemilik Proton X70 2020 melalui pengenalan ciri tambahan Sistem Pembersihan Udara Pintar (P-IAPS).

Sistem ini menggabungkan penggunaan penapis kabin N95 dan sistem pembersih udara yang menawarkan lebih kualiti udara dalam sesebuah kenderaan.

Melalui sistem itu, ia mampu menyingkirkan 95 peratus partikel bersaiz melebihi 0.3 mikron dan menapis 98 peratus debu PM2.5 seperti asap, debu, bakteria serta bahan cemar lain bagi memastikan pendingin udara lebih segar dengan udara lebih baik.

Sistem pembersih sedia ada yang terdapat pada model itu masih dikekalkan menggunakan Penapis Udara Berzarah Kecekapan Tinggi (HEPA) yang mampu menyingkirkan 99.97 peratus untuk menyah bau busuk dan menyerap sebarang partikel daripada asap dan ion negatif akan membersihkan udara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, gabungan dua sistem pembersihan udara ini memberikan tahap perlindungan berkualiti tinggi untuk persekitaran lebih sihat.

"Proton sentiasa menambah baik produk syarikat seperti kualiti udara dalam kabin yang lebih selesa tanpa pencemaran udara untuk pelanggan kami.

RUANG dalaman dengan kualiti udara segar.
RUANG dalaman dengan kualiti udara segar.

MODEL edisi 2020 dengan transmisi 7-kelajuan DCT.
MODEL edisi 2020 dengan transmisi 7-kelajuan DCT.

"Buat masa ini, P-IAPS hanya ditawarkan buat model X70 terbaharu, namun kami berusaha keras untuk memperkenalkan model lain pada masa hadapan," katanya.

Semua penapis ini dipasang di kilang Proton Tanjung Malim, Perak dan buat pemilik X70 sedia ada, boleh menambah baik penapis kabin N95 ini pada harga RM79.

Pelanggan boleh melakukan temu janji di laman web Proton atau menghubungi mana-mana pusat servis yang terdekat bermula 13 Mei lalu.

Kerja pemasangan dijadualkan bermula 18 Mei hingga 18 Ogos 2020 dengan tawaran potongan harga 15 peratus.

Selain itu, Proton X70 2020 juga dilengkapi pintu bonet automatik dan Transmisi Klac Berkembar tujuh-kelajuan (7-DCT) bagi menggantikan Transmisi Automatik enam kelajuan (6AT) yang digunakan sebelum ini.

CIRI P-IAPS.
CIRI P-IAPS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 7:00 AM